Index» » » » » » » Audit SPRM buka 15 kertas siasatan

Audit SPRM buka 15 kertas siasatan

Rabu, 01 Januari 2014

Datuk Mustafar Ali

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berdasarkan Laporan Audit Negara 2012 ke atas kes-kes berunsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Pengarah Siasatannya, Datuk Mustafar Ali berkata, suruhanjaya itu memandang serius kelemahan dan ketirisan yang dibentangkan dalam laporan berkenaan.

Menurutnya, berikutan laporan itu, SPRM dengan kerjasama Jabatan Audit telah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dan bertindak sewajarnya.

“Pasukan ini akan membentangkan hasil penemuan, pelan tindakan dan cadangan bagi mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang melakukan kesalahan tersebut.

“Sehingga kini, SPRM telah pun membuka 15 kertas siasatan. Siasatan dijalankan di bawah peruntukan Akta SPRM 2009,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara pada 2011, sebanyak dua kes telah dibawa ke mahkamah dan lima pegawai kerajaan dikenakan tindakan tatatertib.

“Ia berdasarkan hasil tindakan bersama lain-lain agensi kerajaan. Tindakan penambahbaikan sistem dan prosedur, tatacara kerja bagi mengurangkan risiko, ruang dan peluang gejala rasuah juga telah diambil.

“SPRM memandang serius kelemahan dan ketirisan yang dibentangkan dalam laporan audit. Adalah tugas dan tanggungjawab SPRM untuk siasat kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya.

Jelas beliau, SPRM memberi perhatian terhadap isu-isu yang tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Arahan Perbendaharaan, SPRM akan mengambil tindakan tegas sewajarnya, termasuk mengesyorkan tindakan disiplin kepada agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Berdasarkan kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, SPRM telah pun mula meneliti isu-isu yang ada kaitan unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta pemalsuan.

“Penubuhan jawatankuasa khas, yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, ia satu usaha sangat signifikan dan proaktif supaya isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak berulang.

"Pada masa sama, tindakan tegas diambil terhadap mereka yang cuai dan gagal mematuhi peraturan, lebih-lebih lagi terhadap mereka yang terlibat dalam gejala rasuah.

“Selain menjalankan penyiasatan semenjak pendedahan laporan audit, SPRM juga telah adakan perbincangan dengan Jabatan Audit Negara bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu penyiasatan dan lain-lain tindakan sewajarnya,” katanya.



Tidak ada komentar:

Posting Komentar