Index» » » » » » Skuad Hoki Pertahan Pingat Emas

Skuad Hoki Pertahan Pingat Emas

Senin, 03 Februari 2014


KUALA LUMPUR – Skuad hoki negara akan menggabungkan pemain senior dan junior dalam misi mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-27 di Myanmar, mulai 11 hingga 22 Disember ini.

Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata skuad Sukan SEA kendalian jurulatih Tai Beng Hai akan dibarisi seramai 25 pelatih termasuk tujuh pemain muda.

“Kita mendapat persetujuan pengurus dan jurulatih pasukan senior dan junior untuk menghantar skuad campuran ke Myanmar.

“Senarai pemain Sukan SEA akan dimaklumkan awal bulan depan selepas skuad senior kembali daripada Jelajah Korea Selatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, Beng Hai berkata skuad Sukan SEA perlu dibarisi oleh gandingan pemain junior yang boleh mendapatkan pendedahan dan pengalaman manakala pemain senior menjadi teras kekuatan pasukan pada temasya dwitahunan itu.

Nur Azmi berkata sasaran mempertahankan pingat emas bukan sahaja untuk skuad lelaki negara malah untuk skuad wanita negara yang masing-masing meraih emas pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Bagaimanapun, acara hoki tidak dipertandingkan pada edisi 2009 di Laos dan 2011 di Indonesia. – BERNAMA



Tidak ada komentar:

Posting Komentar