Index» » » » » » » Kit Siang Dakwa Kawalan Esscom Longgar

Kit Siang Dakwa Kawalan Esscom Longgar

Senin, 16 Desember 2013


KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa kawalan keselamatan yang longgar di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) antara penyebab seorang pelancong Taiwan ditembak mati manakala isterinya diculik sekumpulan lelaki di Pulau Pom Pom, Semporna kira-kira pukul 1 pagi semalam.

Beliau juga mendakwa kejadian pembunuhan dan culik itu dipercayai dilakukan oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang lengkap bersenjata dan menyerbu sebuah restoran di pusat peranginan itu serta melepaskan beberapa tembakan.

“Mangsa tembakan Lim Min Hsu, 57, telah ditembak dua kali pada bahagian dada dan rusuk. Beliau meninggal di tempat kejadian manakala isterinya, Lim Min Hsu, 57, dilarikan oleh kumpulan bersenjata tersebut dengan sebuah bot kecil ke arah Filipina selatan.

“Pembunuhan dan penculikan di pulau Pom Pom itu memberikan tamparan hebat kepada usaha untuk memulihkan keyakinan pelancong dan orang ramai terhadap kawalan keselamatan di Sabah selepas pencorobohan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu pada bulan Februari lalu,” dakwanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin veteran DAP itu turut mendakwa kejadian itu menunjukkan pembentukan Esscom belum menghasilkan keamanan dan keselamatan di Pantai Timur Sabah manakala tiga matlamat Esscom untuk menjamin sepenuhnya keselamatan, memulihkan keyakinan orang rami untuk kembali hidup seperti biasa dan memulihkan keyakinan pelancong selepas pencerobohan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu masih belum tercapai.

Justeru, beliau menggesa kerajaan memberitahu tindakan yang akan diambil oleh Esscom untuk mengetatkan kawalan keselamatan supaya kejadian pembunuhan dan penculikan oleh pengganas dari Filipina tidak akan berulang lagi di Sabah.



Tidak ada komentar:

Posting Komentar